Ahli Parlimen Pasir Gudang, YB Hassan Karim dipercayai telah menyuarakan kekecewaannya kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan pimpinan Pakatan Harapan secara terbuka dengan ciapan di laman Facebook beliau hari ini.

Puisi di laman Facebook tersebut jelas menunjukkan bahawa beliau kesal dengan keputusan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang kini telah bekerjasama dengan seteru politik mereka Barisan Nasional untuk membentuk kerajaan, "Semalam aku masih terdengar-dengar, Kau berkata, Kita tidak akan menggadai prinsip demi kuasa".

Di dalam puisi tersebut beliau juga mengaku bahawa beliau malu dengan kemenangan tanpa integriti Pakatan Harapan, "Kini aku malu pada diri sendiri, Ketika menang tanpa integriti seperti ini". Buat masa ini, masih tidak diketahui samaada YB Hassan Karim akan melepaskan jawatan beliau sebagai Ahli Parlimen selepas menyuarakan kekecewaaan kepada kepimpinan parti beliau hari ini.

Berikut sajak penuh YB Hassan Karim:

PUISI KUSIMPAN RISALAH REFORMASI DI DALAM PETI Semalam aku masih terdengar-dengar Kau berkata Kita tidak akan menggadai prinsip demi kuasa Maka, aku pun percaya Lalu aku kumandangkan suara keyakinanku Ke setiap penjuru tanahair tercinta ini Ke bukit ke gunung, ke lembah, ke lurah Ke tanah datar aku berbicara Bahawa hidup ini hanya sekali Maka marilah kita rakyat marhaen, warga bawahan rakyat jelata, Demi keadilan kita bersama, aku seru Kita bawa perubahan hakiki yang kita panggil reformasi Tetapi hari ini aku dikejutkan Dengan istilah-istilah asing sama sekali Aku mendengar orang berkata tentang Machiavellian dan realpolitik Lalu tersentaklah aku dari mimpi ngeri Justeru, aku merayu kepada sahabatku, Berkata luruslah di luar dan di dalam hati Apakah benar? Yang lurus itu dakwah, Politik ini bengkang bengkok rupanya? Naif sungguh aku ini Lurus bendul selama ini Setelah terbangun dari mimpi Aku ambil peti kayu di tepi katil tidurku Lalu aku lipat dan kusimpan Segala risalah dan teks ucapanku Yang menyeru reformasi, reformasi, Hampir suku abad, selama ini Kini aku malu pada diri sendiri Aku malu untuk ucapkan kata-kata keramat itu lagi Separuh jiwaku telah mati Aku merasa tewas Ketika menang tanpa integriti seperti ini

HASSAN ABDUL KARIM Pasir Gudang Isnin 05 Disember 2022

TAGPolitikNasional
n
naim.brundage

Wartawan Berita Malaya.